Sabtu, 27 Oktober 2012

PERMAINAN MATEMATIK


Permainan Matematik

a) Apakah permainan Matematik?
Sejak kebelakangan ini pelbagai pihak mula sedar peranan dan keupayaan matematik dalam menjayakan hasrat murni negara dalam mencapai status sebuah negara perindustrian pada tahun 2020. Penekanan kepada bidang matematik mula dirasakan apabila Y.A.B Mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir Mohamad memperkenalkan Wawasan 2020 pada 28 Februari 1991. Y.A.B Tun Dr. Mahathir Mohamad juga pernah menyatakan bahawa salah satu faktor yang menjejaskan kejayaan seseorang ialah kelemahannya dalam menguasai bidang matematik. Matematik dikatakan suatu subjek yang sangat kompleks dan memerlukan bahan atau kaedah khas untuk mempelajarinya. matematik juga sering dikaitkan sebagai subjek yang mempunyai taraf dan jenis matapelajaran yang tinggi. Isi kandungannya juga adalah sangat berturutan dan berhiraki iaitu melibatkan proses mental yang tinggi dan perlu memenuhi turutan kognitif iaitu berfikir secara analisis, rasional, logik, berupaya membuat penaakulan dan mahir dalam menyelesaikan sebarang masalah. 
Kaedah main sambil belajar.

Aktiviti ini dijalankan secara spontan untuk faedah perbuatan itu sendiri. Ini bermakna kaedah tersebut memberi kepuasan dalam keadaan sedar atau tidak. Terdapat unsur-unsur kespontanan, kurang berstruktur, tiada paksaan, dan menimbulkan kepuasan. Sebagai contoh kanak-kanak bermain batu seremban, mereka bukan sahaja seronok tetapi juga dapat membina ketelusan dalam mengira mata yang diperolehi.

Tujuan kaedah bermain sambil belajar adalah untuk mendatangkan keseronokan dan hiburan di samping merangsang individu mempelajari sesuatu dengan cara yang aktif dalam keadan yang tidak formal. Kaedah ini membantu perkembangan fizikal, sosio-emosi dan mental di mana mereka juga dapat meningkatkan kekekuatan dan ketangkasan, dapat berinteraksi juga mempelajari nilai – nilai sosial yang positif seperti bertolak-ansur, bertimbang – rasa dan lain-lain lagi. Kesan keseronokan daripada bermain dapat mempercepatkan lagi proses pembelajaran di mana maklum balas yang di beri serta merta tentang betul atau salah akan mengukuhkan lagi pembentukan satu-satu konsep.
Di dalam melaksanakan aktiviti permainan, ia harus berkaitan dengan objektif pembelajaran. Permainan tersebut mesti sesuai dengan umur, pengalaman, kebolehan serta kecenderungan murid-murid. Arahan tentang permainan mestilah jelas, tepat dan mudah difahami. Kaedah ini harus melibatkan senua murid sekiranya dijalankan di dalam kelas. Maklum balas tentang betul atau salah dalam sesutu permainan hendaklah diberi dengan serta merta agar murid-murid bermotivasi untuk meningkatkan lagi motivasi mereka. Tempoh permainan tidak boleh pendek dan tidak boleh terlalu panjang. Ia seharusnya mengambil masa yang sederhana dan sesuai. Permainan harus melibatkan aspek psikomotor, kognitif dan efektif. Ia harus menekankan nilai kerjasama, keadilan, keseronokan dan kemahiran sosial. Permainan dijalankan dalam bentuk yang boleh menarik minat murid-murid dan merupakan satu bentuk pengajaran bukan sebagai pengganti guru. 

Ibu bapa memainkan peranan penting dalam memupuk minat terhadap bidang Matematik. Ibu bapa perlu menyediakan banyak permainan Matematik dan alat mainan Matematik yang banyak bagi membantu anak-anak memahami kepentingan konsep Matematik . Nombor, bentuk, saiz, aritmetik, logik dan lain-lain. Pendek kata, proses pembelajaran kanak-kanak adalah paling optimum semasa mereka bermain.
Kanak-kanak tidak seharusnya melepaskan peluang keemasan bermain permainan Matematik. Anak-anak anda (jika anda ialah para ibu bapa) atau pelajar (jika anda ialah para guru) mesti diberi peluang agar dapat menjadikan minat terhadap Matematik berakar umbi dalam diri kanak-kanak melalui aktiviti permainan Matematik sekolah rendah yang disediakan. Kanak-kanak tidak perlu melepaskan peluang keemasan ini. 

Kanak-Kanak Tadika Belajar Matematik Melalui Pengalaman Seharian Bukan melalui penghafalan! Cuba anda meneliti pemahaman anda terhadap konsep asas Matematik. Satu soalan yang paling digemari dan sering ditanya ialah: Kenapakah dua campur dua jadi empat? Jawapannya ialah empat dan tidak ada alasan kenapa jawapannya bukan empat. Saya berpendapat bahawa adalah lebih baik sekiranya kanak-kanak diajar Matematik melalui pendedahan masing-masing terhadap nombor dalam kehidupan seharian mereka. Contohnya melalui permainan dan keriaan. Sama ada anda ialah seorang guru atau ibu bapa, permainan tersebut akan dapat membantu kanak-kanak kesayangan anda mempelajari Matematik melalui pendedahan yang berulang, aritmetik, saiz dan konsep Matematik yang lain.
 
Permainan Tambahan Satu Pancingan ialah satu permainan yang mempunyai peraturan yang mudah dan permainan ini boleh digunakan untuk mengajar fakta operasi asas operasi tambah seperti 3+1=4. Permainan ini boleh dimainkan dengan hanya menggunakan sebarang kad yang bernombor, seperti kad UNO. Apabila kanak-kanak berjaya menguasai kemahiran menambah nombor 1 kepada nombor -nombor lain, anda boleh menggalakkan mereka bermain permainan Tambahan Dua Pancingan, permainan Tambahan Tiga Pancingan atau bermain permainan Tambahan Tambahan Pancingan! Ini akan mendorong kanak-kanak explore permainan ini dan gembira dengan permainan Matematik ini.

Permainan Matematik untuk kanak-kanak Tadika atau kertas kerja operasi tambah, bukanlah kerja kerja yang biasa dijumpai. Walau bagaimanapun, kanak-kanak tentu suka akan permainan Matematik kerana permainan ini Menggabungkan konsep Matematik dengan visual gambar yang berwarna-warni. Kanak-kanak memang gemar kepada permainan yang ada visual dan berwarna-warni. Jika permainan operasi tambah tadika dapat mengajar kanak-kanak menguasai operasi tambah, maka kamu boleh memperkenalkan permainan tadika operasi tolak kepada kanak-kanak pula. Yang paling penting ialah objektif pembelajaran matematik tercapai sepenuhnya dan pelajar atau anak-anak gembira dan menyukai subjek Matematik.


b) Mengapa perlu permainan Matematik?
Bagi pendapat saya permainan Matematik perlu diwujudkan kerana adanya permainan ini dapat merapatkan jurang kebimbangan pelajar kepada mata pelajaran Matematik. Pelajar harus belajar mengenal pasti soalan dan menentukan fakta yang di fahami. Dalam proses mengenal pasti masalah, kaedah,teknik, rujukan dan sumber yang sesuai perlu ditekankan. Pertama sekali pelajar perlu mengkaji ramalan kerana ia dapat membantu memandu murid-murid mendapatkan maklumat yang paling mudah. Ia juga memandu murid-murid membuat ramalan tentang apa yang mungkin berlaku, bagaimana masalah ini boleh diselesaikan dan apakah langkah yang perlu dilakukan. Kedua mengumpul maklumat, setelah maklumat dikumpul murid dapat menyusun maklumat mengikut urutan. Di sini murid dapat membuat ramalan, memeriksa maklumat dan menentukan kebenarannya. Seterusnys murid-murid harus merangka prosedur dan urutan untuk menyelesaikan masalah melalui uji kaji. Ketiga ialah menganalisis, di mana murid-murid membuat analisis dan ujian tentang ramalan yang dibuat. Di sini murid – murid cuba menyelesaikan masalah, membuat penilaian kreatif untuk pengsahan. Akhir sekali membuat rumusan iaitu murid-murid seharusnya sudah mempunyai rumusan dan kesimpulan tentang masalah atau fenomena yang dikaji. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan